Rabu, 10 Mac 2010

SAYANGI DAN BERSYUKURLAH DENGAN KEHADIRAN SEORANG YANG BERGELAR SUAMI !!!!

SUATU PERJALANAN

"Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa
bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan
cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak
ditimpa hujan."

Teringat pesan ayah di suatu petang...
"Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan
kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng
mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi
masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah
memujuk hati," ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahun bersama
arwah Mak.

Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia
merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan
pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap
saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi
kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling
menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.


SILAP ISTERI

Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci
dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai
keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas
alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang
bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang
bermaksud:

"Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka"Seorang
wanita lalu bangun bertanya, "Apakah yang menyebabkan yang demikian?
Adakah sebab kami ini kufur?"Rasulullah SAW menjawab, "Tidak. Bukan begitu.
Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu
kedalam neraka:
1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami."

Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu,
terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego
diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka.
Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya,
bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak
menyala benci.


YANG LEBIH, YANG KURANG

"Awak beruntung ye, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari
menjeruk rasa," luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata. "Suami
saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya
perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap," jawab saya supaya
dia buka mata.
"Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka,
meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu
membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami
yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila
diminta bantu sini dan sana . Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan.
Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia." pujuk saya
lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali 'memandang tinggi' kehadiran
seorang suami.


ENGKAU TERBAIK UNTUKKU

"Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh,
ambil yang jernih. Baru teguh peribadi."
Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari
Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga
sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan.
Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan
bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi. Pandang
wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, "Terima kasih, suamiku.
Engkau terbaik untuk diri ini." Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Saling berpesan-pesan kpd kebaikan..

* Moga kita sama2 mendapat manfaat drp cerita/ pesanan di atas, insyaallah...